7:45 PM | Posted in
Berita ADUN Pelabuhan Klang, YB Badrul Hisham Abdullah keluar Parti Keadilan Rakyat pada 29 Oktober 2009 bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Pada pagi hari yang sama saya mengeluarkan kenyataan media menyatakan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim berhasrat memaklumkan Majlis Pimpinan Pusat Keadilan untuk meminta Badrul letak jawatan.

Di dalam Dewan Negeri Selangor kerusi saya di antara Badrul dan YB Haniza Talha, Timbalan Speaker Dewan merangkap ADUN Taman Medan. Namun beliau langsung tidak pernah berucap di dalam Dewan, sekadar bertanya soalan.

Ketika awal-awal timbul rungutan orang ramai dan akar umbi Keadilan terhadap prestasi Badrul saya bertemu dengan beliau. Malah, saya mengaturkan pertemuan beliau dengan Tan Sri Khalid. Dalam setiap pertemuan beliau meluahkan masalahnya dengan pimpinan cabang Klang dan berjanji memperbaiki prestasi beliau.

Awal tahun ini apabila cerita beliau hendak lompat parti mula tersebar, saya menghubunginya. Selepas mendapat penjelasan beliau, kami mengadakan sidang media bersama YB Azmin Ali dan YB Amirudin Shari menafikan kisah tersebut.

Namun rungutan orang ramai terhadap beliau semakin berterusan. Saya memanggil beliau untuk datang berjumpa Menteri Besar. Beliau bersetuju. Apabila tiba hari yang dijanjikan, beliau tidak hadir sebaliknya menghantar pembantunya sebagai wakil.

Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terpaksa memanggil beliau suatu petang bersama-sama saya bagi meyakinkan beliau untuk memberi kerjasama penuh dengan saya dan Menteri Besar.

Apabila Badrul tidak mengubah sikap, masih sukar berbincang dan ramai merungut tentang pengurusan peruntukan beliau, maka saya mengunjung beliau bersama pimpinan Keadilan Cabang Klang pada 14 Mei 2009 bagi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bercadang memberikan saya tanggungjawab menguruskan peruntukan DUN beliau. Lawatan saya ke rumah beliau dibuat secara mengejut agar beliau tidak boleh mengelakkan daripada bertemu saya.

Pada pertemuan tersebut yang mana turut dihadiri isteri dan pembantu-pembantu Badrul, beliau bersetuju dengan perubahan tersebut. Saya sendiri memaklumkan saya akan menyokong sebarang aktiviti yang Badrul anjurkan sekiranya dibuat permohonan lengkap.

Namun sejak hari itu beliau sukar dihubungi. Saya tidak pernah berjaya menelefonnya secara langsung – mengalahkan Datuk Seri Anwar mahupun Tan Sri Khalid dalam ‘kesibukannya’! Pada sidang DUN yang lalu beliau tidak hadir, dan mula-mula menghantar surat memaklumkan keuzuran yang ditandatangani oleh pembantu beliau. Apabila saya memaklumkan YB Tuan Speaker tidak boleh menerima surat begitu, barulah Badrul menghantar surat yang ditandatanganinya sendiri.

Penduduk Pelabuhan Klang merungut tidak menerima bayaran Skim Mesra Usia Emas, sehingga Kerajaan Negeri memindahkan pengurusan skim tersebut di bawah saya demi kebajikan rakyat. Bukanlah saya teringin sangat hendak mengambil alih pengurusan DUN nya, memandangkan saya pun banyak tanggungjawab lain termasuk DUN saya sendiri. Malah YB Ronnie juga terpaksa ‘menyerbu’ rumahnya kerana YB Ronnie yang merupakan ADUN Pandamaran yang berjiran dengan Pelabuhan Klang terlalu kerap menerima rungutan orang ramai tentang Skim Mesra Usia Emas di sana.

Beliau juga tidak memulangkan deposit pilihan raya sebanyak RM8000 yang didahulukan oleh Keadilan pada penamaan calon hingga hari ini.

Seorang demi seorang pembantu beliau meninggalkannya. Ramai datang bertemu saya merungut kebajikan mereka tidak terjaga.

Selepas peristiwa itu, YB Azmin dan saya merancang membuat lawatan mengejut lagi ke rumahnya. Tetapi apabila berita tersebut dihidu Badrul, beliau meninggalkan rumahnya dan berpesan kepada seorang anggota Keadilan Klang agar saya dan YB Azmin membuat temujanji sekiranya hendak bertemu. Bagaimana nak buat temujanji kalau tak boleh dihubungi?

Bagi setiap program yang mana saya dijemput selaku Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, saya minta Badrul dimaklumkan. Namun beliau tidak pernah hadir. Dalam satu program penyampaian zakat di Masjid di Pelabuhan Klang yang beliau maklumkan akan hadir, yang tiba cumalah pembantunya dengan teks ucapan beliau di penghujung program.

Beliau tidak lagi hadir program orang ramai, sebaliknya menghilangkan dirinya entah ke mana. Pusat Khidmat Rakyatnya juga akhirnya tutup, sedangkan beliau terus mendapat elaun pejabat dan dua pembantunya terus dibayar Kerajaan Negeri.

Saya ada menerima surat tentang tuntutan beberapa bayaran dari Badrul. Saya menghantar pesanan agar kami dapat bertemu untuk saya mengesahkan permohonan tersebut. Tetapi tiada jawapan.

Sehingga ke minggu lepas, pintu rundingan masih dibuka. Berkali-kali Tan Sri Khalid memaklumkan pada saya keinginannya untuk bertemu Badrul, namun setiap pesanan yang saya hantar tidak mendapat sebarang jawapan.

Kenyataan Tan Sri Khalid dibuat memandangkan sudah tiada pilihan lain.

Justeru, saya sedikit lucu dengan kenyataan Badrul apabila mengumumkan keluar dari Keadilan – menjadi seorang lagi YB ‘Bebas menyokong BN’ – beliau menyatakan beliau hilang keyakinan terhadap Keadilan. Mengapa selepas Tan Sri Khalid minta beliau letak jawatan baru beliau hendak keluar menghadap orang ramai dan umumkan beliau keluar dari parti? Pelbagai perkara yang sudah lama berlaku disebut, tetapi hanya sekarang beliau berani bersuara?

Hakikatnya, rakyat sudah lama hilang keyakinan kepada beliau .
Category:
��

Comments